02 January 2008

Diari Hidup Kita - 2008

Sesetengah orang tidak dapat berpisah dengan diari. Di situlah setiap memori pahit manis di catat, dan hari ini menjadi kenangan. Bila terbaca kembali pasti ada yang tersenyum, malu sendiri. Pasti ada yang lucu waktu dulu-dulu. Secara tidak lansung kita belajar merenung kembali apa yang telah berlaku, belajar untuk memperbetulkan keadaan. Dulu mungkin tidak perasan mana salahnya, hari ini baru dapat pertimbangkan.

Tetapi zaman sekarang ini zaman teknologi canggih, saya percaya sudah ramai yang meninggalkan diari dan beralih kepada blog. Tidak kiralah blog ber'domain'kan sendiri atau menggunakan laman percuma seperti Friendster, Tagged, Myspace dan sebagainya. Bukan setakat blog, macam-macam boleh buat. Kalau dulu nak berkenalan semuanya pakai surat. Kalau tidak hantar melalui posmen bertauliah pasti pakai posmen 'orang tengah'. Sekarang ini klik aje dah terpampang gambar, profil diri dan bermacam-macam lagi. Makin lama makin banyak kemudahan untuk generasi sekarang.

Saya pun sudah lama tidak memiliki diari. Kalau tak silap kali terakhir pada 13 Disember 2004, dan sekarang 2008. Lebih kurang 3 tahun saya sudah meninggalkan diari. Mungkin ada kenangan tersendiri. Setiap kali melihat diari pasti kenangan pahit dan sedih sahaja. Tetapi sebalik itu ada juga yang manisnya, dan sudah pasti kenangan ketika bergelar mahasiswi di Jordan. Bermulanya 2005, saya beralih kepada blog. Sehinggalah sekarang saya masih menggunakan bermacam-macam blog. Cuma masa sahaja tidak mengizinkan untuk menulis setiap hari.

Walaupun semua diari sudah lama hilang entah kemana, tetapi semua memori tersemat di dalam kotak fikiran. Apa yang masih saya ingat, bermula dari umur 4 tahun. Merengek-rengek minta di sekolahkan. Tapi bila tiba waktunya, menangis-nangis pula malas ke sekolah. Ketika di sekolah rendah pula pernah menggayakan pertunjukan fesyen. Sudah penat bermain ketika di sekolah rendah, beralih pula ke sekolah menengah. Peristiwa asyik bercinta, di kecewa dan mengecewakan 'orang' masih terbayang di fikiran. Seperti sebuah filem yang di ulang tayang dalam pawagam.Tiada hentinya...

Masih segar di ingatan ketika di sunting menjadi suri di taman hati si suami. Senyuman, jelingan tajam menikam di hati. Saat jari di sarung cincin yang tidak pernah saya tanggalkan sehingga hari ini. Kucupan pertama hinggap di ubun-ubunku. Setiap pengorbanan dan kesetiaan suami tidak dapat di balas walau dengan apa cara sekalipun. Sehingga ke peristiwa melangkah ke alam pekerjaan. Penat lelah membina 'empayar' sendiri. Di samping itu, turut bekerja di tempat lain. Ramai yang merungut, suka bertukar-tukar kerja. Mungkin ada alasan sendiri. Maklumlah minat berkobar-kobar dalam dunia perniagaan, tetapi bukannya seorang 'profesional' dalam bidang tersebut, masa belajar dahulu bidang lain. Itupun kerana menjaga hati orang lain. Terpaksalah bermula dari bawah,suka duka bekerja di pasaraya, sebagai juruwang, kedai makanan segera, kedai kasut, kedai percetakan, kerani, PA kepada selebriti, dan bermacam-macam lagi. Dari situ belajar macam mana nak uruskan kaunter, macam mana urusan majikan dan pekerja, layanan sewajarnya, susah senangnya miliki perniagaan makanan. Penatnya panjat rak kasut ambil saiz yang di minta pelanggan.

Bermacam-macam bab dalam hidup kita. Suka duka, pahit manis berjalanan seorang insan. Walaupun ditulis di dalam 1000 diari sekalipun, perjalanan hidup kita tidak akan berhenti sehingga noktahnya. Maka jadikanlah peristiwa lalu sebagai pedoman, gengam masa depan demi kejayaan. Selamat Datang 2008. Tahun baru, lembaran baru.


"Kullu Am Wa Antum Bil Kher"

WNB 2011


0 comments: